Assalamualaikum...

Assalamualaikum...

Sebelum Intan Tidur.... Intan selalu nak ingatkan diri Intan dan semua orang sekeliling Intan....

Ini adalah LUAHAN HATI dan koleksi Tazkirah.... Semoga BILA INTAN TERUS TIDUR... Blog ini menjadi Tanda Kasih Sayang Intan pada semua orang yang Intan sayang...

Semua Tazkirah ini Intan kumpul sejak dari mula-mula Intan ada Facebook dan baca dari Blog-blog yang terdapat dalam internet. Semoga kita berkongsi bersama segala kebaikan dan ilmu ini....


2018 intan mula dengan luahan hati. Setelah Habibi pergi, banyak yang ingin intan luahkan. Supaya terlerai sesak dada ini.

Terima Kasih buat arwah Habibi Tersayang dan Anakanda yang Dikasihi serta Meow-meow yang tak jemu menemani mamamu ini….. ;)

Tuesday, 3 September 2013

PERIHAL KEMATIAN DAN KENDURI ARWAH

PERIHAL KEMATIAN DAN KENDURI ARWAH
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah


    Mati ialah terputusnya perhubungan di antara roh dan jasad. Sebenarnya mati merupakan perpindahan pertama bagi manusia dari alam dunia menuju ke alam akhirat. Bermula dari sini manusia akan berpindah ke alam barzakh atau alam kubur. Mati itu adalah perkara yang pasti terjadi bagi semua yang hidup. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan pasti merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu” (Surah Ali Imran: 185)

    Alam barzakh merupakan alam tempat roh orang mati berada sementara menunggu hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Ketika berada di alam barzakh manusia akan disoal dengan berbagai perkara termasuk mengenai ketuhanan dan kerasulan oleh malaikat Munkar dan Nangkir. Bagi mereka yang dapat menjawabnya maka dia akan bahagia dan selamat. Keupayaan seseorang sama ada boleh menjawab atau tidak soalan-soalan itu, sebenarnya akan bergantung kepada amalan manusia semasa hidupnya di dunia.

    Di dalam Al-Qur‘an, hidup mempunyai dua pengertian iaitu hidup di dunia dan hidup di alam akhirat. Hidup di dunia ialah bersatu jasad dengan roh atau jiwa. Sementara hidup di akhirat (mati) adalah apabila roh atau jiwa berpisah daripada jasad. Pengertian ini diambil daripada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala :
Tafsirnya: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (Surah Al-Zumar: 42)
Berdasarkan ayat diatas menurut Imam Al-Razi bahawa mati dan tidur itu adalah daripada jenis yang sama, cuma mati itu terputus nyawa secara zahir dan batin daripada badan manusia, manakala tidur pula terputus nyawa secara zahir badan manusia sahaja dan tidak daripada batinnya. Oleh itu tidur adalah mati kecil kepada manusia. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak tidur dan bangun daripada tidur membaca doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Huzaifah Radhiallahu ‘anhu :
Maksudnya: “ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur Baginda membaca doa: “Ya Allah dengan namaMu aku mati dan hidup”, dan apabila Baginda terjaga membaca doa: “Syukur kepada Allah yang menghidupkan diriku selepas mematikannya dan kepadaNyalah tempat kembali”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

TAKZIAH
    Sebagai agama yang lengkap lagi sempurna, Islam telah mengaturkan adab-adab yang perlu diikuti apabila ada kematian, antaranya ialah disunatkan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Takziah ialah menyuruh dan menyatakan kepada orang yang ditimpa musibah tersebut agar bersabar, menyebutkan janji pahala kepada orang yang bersabar dan dosa bagi orang yang tidak bersabar serta memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati, dan bagi keluarganya pula memohonkan supaya dikurniakan dengan pahala yang berlipat ganda di atas kesabaran mereka.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersabar ketika seseorang itu ditimpa kesusahan atau musibah. Di antara orang-orang yang bersabar itu ialah mereka yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka tidak hilang semangat bahkan mereka segera mengucapkan:

    Tafsirnya:
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Hal ini juga telah dijelaskan dalam firman Allah yang tafsirnya : “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya: dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya”. (Surah Al-Baqarah: 156-157)
Para fuqaha tidak berselisih pendapat tentang sunatnya (mustahab) mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah atau kesusahan. Dilakukan takziah itu bagi menenangkan atau menghiburkan hati orang-orang yang berdukacita kerana kehilangan orang yang dikasihi. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu beliau berkata yang maksudnya :
“Puteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengirimkan utusan kepada Baginda bahawa anak saya (Usamah) meninggal, maka silalah datang kepada kami”. Baginda pun mengirimkan utusan dengan berkirim salam dan sabdanya: “Sesungguhnya bagi Allah apa yang diambilNya dan bagiNya apa yang diberikanNya, dan segala yang wujud ini di sisi Allah ada batas waktu yang telah ditentukanNya! Perintahkan kepadanya supaya dia bersabar dan mencari pahala Allah”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda yang lain: “sesiapa yang mengucapkan takziah (pernyataan turut bersedih (berdukacita)) orang yang ditimpa musibah, maka dia memperolehi pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda lagi  yang bermaksud: “Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subbhanahu wa Ta‘ala memberinya pakaian daripada pakaian yang mulia pada hari kiamat”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
 Menurut ulama Syafi‘eyah sunat mengucapkan takziah kepada keluarga si mati sebelum mayat tersebut dikuburkan kerana ketika itu keluarga si mati dalam keadaan sedih dan gelisah. Walau bagaimanapun yang lebih baik ucapan takziah tersebut dilakukan setelah mayat dikuburkan kerana sebelum menanam mayat itu ahli keluarga si mati dalam keadaan sibuk membuat segala urusan pengkebumian. (Mughni Al-Muhtaj: 1/428)

Menurut para ulama, sunat mengucapkan takziah itu dalam lingkungan tiga hari, sebab menurut kebiasaannya kesusahan itu tidak lebih dari tiga hari. Maka makruh hukumnya jika ucapan takziah itu dilakukan lebih daripada tiga hari, kerana ditakuti selepas tiga hari itu akan memperbaharui kesedihan seseorang itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan puncak daripada kesusahan selama tiga hari, sebagaimana sabda Baginda:

    Maksudnya: “Bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak diharuskan berkabung atas si mati lebih daripada tiga hari, kecuali atas suaminya iaitu selama empat bulan sepuluh hari”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Cara Mengucapkan Takziah
    Sunat mengucapkan takziah kepada orang Islam yang ditimpa musibah kematian keluarganya dengan ucapan :
     Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah Ta‘ala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita (dengan sebaik-baik hiburan) serta diampuni akan si mati dari keluarga kamu”.



Cara Membalas Ucapan Takziah
    Maka elok bagi keluarga yang diucapkan takziah membalas dengan ucapan:
    Maksudnya: “Moga-moga Allah Ta‘ala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran”.

Menangisi dan Meratapi Mayat
    Menangis kerana perasaan sedih yang tidak tertahan di atas kehilangan orang yang dikasihi, seperti kematian seseorang adalah diharuskan berdasarkan riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya :
“Kami masuk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim dan menciumnya, sesudah itu kami masuk kepada Baginda dan (ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata Rasulullah mulai mencucurkan air mata”. Kemudian Abd Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau wahai Rasulullah!”, Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya air mata itu rahmat (kasih sayang)”, kemudian air mata (Baginda) terus bercucuran lagi, seraya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan hatipun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diridhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Walaupun menangis itu diharuskan tetapi menangis dengan meratap atau menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju dan lain-lain adalah haram. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang sedemikian diancam dengan siksaan yang berat, sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya :
“Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak-teriak seperti memanggilnya orang Jahiliyah”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya :  “Wanita yang menangis menjerit-jerit, apabila tidak bertaubat akan dibangkitkan di hari kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada percikan api neraka dan baju besi daripada kurap”. (Hadis riwayat Muslim)


Menangisi mayat dengan meratapinya dan memanggil-manggil dengan ucapan: “wahai sandaranku! wahai kemuliaanku! wahai orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!” dan seumpamanya akan menjadi sebab mayat tersebut tersiksa. Perkara ini juga digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya yang maksudnya :

    “Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian ada orang yang menangisinya mengatakan: Waa jabalah! Waa sayyidah! (Duhai pujaanku ! Duhai kemuliaanku!) atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang ditugaskan kepada mayat itu, menusuk-nusuk badan mayat tersebut dengan mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang mulia?” (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Dan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda yang maksudnya :

    “Sesungguhnya mayat itu disiksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya”.(Hadis riwayat Al-Bukhari)

KENDURI ARWAH DAN TAHLIL
Pada kebiasaannya, apabila ada kematian, majlis tahlil atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga orang yang telah meninggal dunia. Keluarga tersebut menjemput orang-orang hadir yang terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al-Qur‘an seperti surah Yasin, bertahlil dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Selepas acara tersebut semua tetamu yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Apakah amalan sedemikian sesuai dengan kehendak hukum syarak?

    Sebagaimana yang kita ketahui, agama Islam sangat menggalakkan berbuat kebajikan seperti bersedakah, memberi makan dengan mengundang orang ke rumah dengan tujuan silaturahim, membaca ayat-ayat Al-Qur‘an dan berdoa beramai-ramai memohon rahmat bagi si mati dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya :
    Tafsirnya: “Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu , tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya”. (Surah Al-Muzzammil: 20)    

Mengikut pendapat imam Syafie sendiri, kenduri arwah tidak digalakkan. Ini kerana ditakuti salah faham yang akan ditimbulkan oleh mereka yang kurang mantap akidah atau ilmunya. Tetapi di kalangan ashab (kawan dan ulama di kalangan pengikut beliau) ramai yang mengatakan ia sunat, dan sampai pahalanya kepada mayat. Ini kerana hadis yang mengatakan terputus amalan anak Adam setelah meninggal itu, melainkan melalui tiga perkara. Antaranya anak yang soleh yang berdoa untuknya. Jadi kalau tahlil itu dengan permintaan anaknya, bererti amalan dan usahanya sendiri, termasuk dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya (an-Najmi-39).

Begitu juga amalan orang lain yang diniatkan dan dihadiahkan kepadanya kerana ini bererti amalannya sendiri, sama ada dengan permintaan anaknya sendiri atau pemberian orang lain. Ini semua dikira amalan yang berpunca daripada usaha atau amalan si mati tersebut juga, seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Orang yang menunjuk kepada kebaikan itu adalah seperti orang yang mengerjakannya.

Begitu juga mereka yang meneroka satu perbuatan yang baik, maka baginya pahala amalannya sendiri dan pahala mereka yang mengikutinya hingga hari kiamat tidak berkurangan pahala mereka sedikit pun. (hadis Muslim).

"Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan suatu kebaikan, Kami tambah pada kebaikan tersebut. "(Asyura-23).


Adapun pahala atau dosa yang berpunca daripadanya seperti anaknya sendiri dan amalan orang lain yang dihadiahkan kepadanya, atau disebabkan oleh anak atau keturunannya itu termasuk dalam amalan usahanya sendiri juga.

Kata ulama, segala pahala amalan anaknya akan sampai kepada bapanya tanpa perlukan niat, malah secara terus. Tetapi amalan keburukan orang lain tidak akan sampai melainkan ia berpunca daripadanya. Sabda Nabi, sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya, sebab itu orang lain boleh berdoa atau bersembahyang untuk saudaranya yang sudah meninggal dunia kerana pahalanya akan sampai kepada si mati tersebut.

Firman Allah , dalam surah an-Najmi ayat 38- 39 itu telah diselaraskan oleh para ulama seperti huraian di atas, bukan seperti yang difahami oleh orang kita yang mengatakan tidak boleh sampai amalan orang lain kepada si mati.

Itu ialah amalan yang tidak ada kaitan atau sebarang sebab langsung daripadanya, tetapi kalau amalan itu ada juga usaha atau sebab daripadanya, pasti pahala amalan itu akan sampai dan dapat diterimanya di akhirat nanti. Jika tidak tentulah sia-sia amalan atau doa kita sebagai umat Islam kepada saudaranya umat Islam yang lain. Malah dalam solat kita diajar supaya memberi salam iaitu meminta keselamatan kepada semua kaum Muslimin hamba Allah yang soleh.

Dalam al-Quran juga Allah mengajar kita supaya berdoa dengan pelbagai doa seperti firman Allah yang bermaksud: Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan bagi saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan, dan janganlah jadikan dalam hati kami, rasa iri hati atau perasaan dendam kepada mereka yang beriman. (al-Hasyr: 10). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Tuhan kami kurniakan kami dari kalangan isteri kami dan keturunan kami, mereka yang menjadi penyejuk pandangan, dan jadikanlah kami pemimpin bagi mereka yang bertakwa, (al-Furqan: 74).

Sebab itu para ashab Syafie memilih pendapat yang tidak dipilih oleh asy-Syafie sendiri, kerana dalil-dalilnya agak kuat dan jelas, iaitu pahala amalan orang lain boleh sampai dan dapat diterima oleh orang lain yang sudah meninggal sekalipun di akhirat kelak sampai seseorang itu ada yang akan menjadi muflis kerana pahala amalannya akan diberi kepada orang lain.

Adapun bilangan hari itu hanyalah semata-mata untuk memudahkan ingatan dan penjadualan sahaja, bukan kerana hari itu yang disuruh kita beramal untuk mengingati mayat keluarga tetapi disuruh setiap masa. Jangan pula ada orang kita yang sengaja tidak mahu faham, mereka mengatakan amalan baik itu bidaah, kerana ditentukan hari- harinya.

Di sini timbul punca perselisihan kita dengan mereka, malah mereka mengatakan sunat pada hari tersebut. Jika difahami betul-betul (sunat itu kerana hari tersebut) maka merekalah yang mengamalkan bidaah. Adapun bukan kerana hari tertentu sahaja kerana tidak ada sebarang nas atau dalilnya, malah suatu penjadualan amalan kebaikan itu sahaja, manakala amalan itu disunatkan kerana ada nas yang menyuruh melakukannya sama ada al-Quran atau hadis atau kias atau ijmak.

Sedangkan kalau ada jamuan pun, hendaklah diurus dan dibantu oleh orang lain sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah sendiri, bila kematian keluarganya Ja'afar. Bagi mereka yang selalu mempersendakan amalan kebaikan ini, kita kemukakan untuk mereka dua dalil di sini sudah cukup untuk mereka yang berfikir.

Satu, di dalam al-Quran di mana firman Allah yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan”, (al-Baqarah: 148). Satu lagi, hadis yang bermaksud: “Janganlah engkau menghinakan sebarang perkara makruf (adat kebiasaan tempatan yang baik) suatu apa pun. "(riwayat Muslim).

Hatta senyuman seseorang kepada saudaranya pun dikira amalan baik juga dan ada pahala tertentu di sisi Allah, kerana menggembirakan saudara Islam. Bagi mereka yang suka mencela kawannya yang beriman juga Allah berfirman bermaksud: "Mereka yang mencela orang-orang yang beriman yang bersuka ria memberi sedekah dan bersusah-payah memberi sedekah dengan menjamu makan fakir miskin atau membaca al-Quran dan sebagainya sekadar kemampuan mereka, lalu mereka sengaja mencela dan mengejek mereka semua, Allah akan membalas ejekan mereka dan azab seksa yang pedih." (at-Taubah: 79)

 Wallahualam.

No comments:

Post a Comment