Assalamualaikum...

Assalamualaikum...

Sebelum Intan Tidur.... Intan selalu nak ingatkan diri Intan dan semua orang sekeliling Intan....

Ini adalah LUAHAN HATI dan koleksi Tazkirah.... Semoga BILA INTAN TERUS TIDUR... Blog ini menjadi Tanda Kasih Sayang Intan pada semua orang yang Intan sayang...

Semua Tazkirah ini Intan kumpul sejak dari mula-mula Intan ada Facebook dan baca dari Blog-blog yang terdapat dalam internet. Semoga kita berkongsi bersama segala kebaikan dan ilmu ini....


2018 intan mula dengan luahan hati. Setelah Habibi pergi, banyak yang ingin intan luahkan. Supaya terlerai sesak dada ini.

Terima Kasih buat arwah Habibi Tersayang dan Anakanda yang Dikasihi serta Meow-meow yang tak jemu menemani mamamu ini….. ;)

Sunday, 29 January 2012

MENGAWAL KEMARAHAN


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.

"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.

"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut.

Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata"Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal."

Sahabat adalah permata yang sukar dicari.Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan.Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

Jika anda rasa benda ini dapat memberi manfaat, sila tekan butang "SHARE" untuk dikongsi di wall masing-masing..

Allahu'alam.

Sunday, 15 January 2012

SUNNAH BERPUASA DI HARI ASYURA (HARI KE-10 DI BULAN MUHARAM)


SUNNAH BERPUASA DI HARI ASYURA (HARI KE-10 DI BULAN MUHARAM)

Pada mulanya puasa Asyura adalah termasuk puasa yang fardu, namun setelah diwajibkan (disyariatkan) puasa Ramadan, maka puasa Asyura menjadi sunnah, sebagaimana penjelasan dari hadis berikut:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ فَرَأَى الْيَهُوْدَ تَصُوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ ، فَقَالَ : مَا هَذَا؟ قَالُوْا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحُ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِيْ إِسْرِائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَ مُوْسَى ، قَالَ : فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ ، فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

“Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa”. (Hadis Riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130))


كَانَ يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ يَوْمًا تَصُوْمُهُ قُرَيْشٌ فِى الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوْمُهُ فِى الْجَاهِلِيَّةِ . فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِيْنَةَ صَامَهُ وَاَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ . فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تَرَكَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ قَالَ : فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ

“Orang-orang Quraisy zaman Jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura di zaman Jahiliyah. Setelah baginda sampai ke Madinah, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang ramai berpuasa. Maka setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan baginda meninggalkan puasa Asyura, baginda bersabda: Barangsiapa yang mahu, berpuasalah dan barangsiapa yang mahu berbuka tinggalkan puasa”. (Muttafaq ‘alaihi. Bukhari (2002) Muslim (1125))

عَنْ مُعَاوِيَةَ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : هَذَا يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ وَلَمْ يُكْتُبِ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ ، وَاَنَا صَائِمٌ ، فَمَنْ شَاءَ فَلْيَصُمْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُفْطِرْ

“Dari Muawiyah berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hari ini adalah hari Asyura, tidak diwajibkan bagi kamu berpuasa, tetapi saya berpuasa, maka barangsiapa yang mahu berpuasa ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang mahu berbuka, maka ia boleh berbuka”. (Hadis Muttafaq ‘alaihi)

اَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ ، وَاَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيْضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ

“Seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah yang diharamkan (Muharam). Seafdal-afdal solat selepas solat fardu ialah solat malam”. (Hadis Riwayat Muslim (1163). Nasai’i dalam Al-Kubra (2/2905,2906). Ahmad (2/303,329,342,535). Ad-Darimi (2/21). Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra (4/291). Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Musannaf (3/42). Abu Ya’la (6395). Ibnu Hibban dalam As-Sahih (2363). Dan Ibnu Khuzaimah (1134))

سُئِلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَيُّ الصَّلاَةِ اَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوْبَاتِ ؟ قَالَ : اَلصَّلاَةُ فِى جَوْفِ اللَّيْلِ . قِيْلَ ثُمَّ اَيُّ الصِّيَامِ اَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ ؟ قَالَ : شَهْرُ اللهِ الَّذِيْ تَدْعُوْنَهُ الْمُحَرَّمَ
“Telah ditanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Apakah solat yang paling utama selepas solat wajib? Baginda bersabda: Solat di jauh malam. Baginda ditanya lagi: Puasa apakah yang lebih utama selepas puasa Ramadan? Baginda bersabda: Puasa di bulan Allah yang kamu panggil Muharam”. (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

MENCONTOHI PUASA RASULULLAH 

اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صِيَامِ يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ فَقَالَ : يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَّةَ

“Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya tentang puasa Asyura, maka baginda bersabda: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyuarakan agar berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 dalam bulan Muharam. Baginda bersabda: 


لَمَّا صَامَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ وَاَمَرَ بَصِيَامِهِ قَالُوْا : يَارَسُوْلَ اللهِ اَنَّهُ يَوْمَ تُعَظِّمُهُ الْيَهَوْدُ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : فَاَذَا كَانَ عَامُ الْمُقْبِلِ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ . قَالَ : فَلَمْ يَاْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Semasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah wafat”. (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sebagai kesimpulannya, adalah disunnahkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 di bulan Muharam.


Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
  12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
  13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Wednesday, 11 January 2012

ADAB MEMOTONG KUKU


"Barangsiapa dapat mengamalkan 1 sunnah Rasulullah saw di akhir zaman maka dia akan mendapat ganjaran 100 orang mati syahid" 

Saidina Ja'far Radhiallahu Anhu berkata:-
Barangsiapa mengerat atau memotong kuku dan misainya pada tiap-tiap hari Jumaat dan berkata ketika mengeratnya:- 
"BISMILLAHI WABILLAHI WA'ALA MILLATI MUHAMMADIN WA AALI MUHAMMAD"
Tiada gugur yang dikerat itu melainkan dengannya pahala memerdekakan seorang sahaya dan tiada sakit melainkan sakit mati.

 


BARANG SIAPA YANG MENGERAT KUKUNYA PADA:
Hari Sabtu: keluar dari tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit

Hari Ahad: Keluar kekayaan masuk kemiskinan

Hari Isnin: keluar daripadanya gila dan masuk sihat

Hari Selasa: keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit

Hari Rabu: keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan

Hari Khamis: keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit

Hari Jumaat: keluar daripadanya dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala

jadi, kerat kuku bukan sebarang kerat tapi ada kaedahnya. walaupun hanya kuku tapi adalah sebahagian daripada badan kita yang perlu kita hormati. misalnya kerat kuku ada adabnya selain mengikut hari, kita juga perlu buang kuku itu pada tempat yang tidak kotor, sebagaimana yang diajar..seeloknya kita membuang ke tanah kerana kita juga berunsur tanah. bukannya tong sampah sekali pun tong sampah itu bersih.

Ada juga golongan yang mempertikaikan riwayat-riwayat di atas. Apapun secara amnya sunat memotong kuku pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Ada juga riwayat mengatakan siapa potong kuku setiap hari Rabu miskinlah ia. (Kesahihannya wallahua’lam). Seboleh-bolehnya elakkan dari mengekalkan memotong kuku pada hari Rabu (sekali-sekala tidak apa). Ini kerana isteri nabi iaitu Siti Khadijah pernah bertanya bagaimanakah caranya untuk menghabiskan harta beliau yang banyak. Maka jawab Nabi s.a.w. potonglah kuku pada setiap hari Rabu.
Nabi juga pernah berkata, jangan panjangkan kuku kerana syaitan berlari di atas kuku yang panjang. Begitu juga misai yang melebihi bibir mulut.

Kaedah yang paling mudah ialah:-


KUKU TANGAN
1. Mulai dari Jari Telunjuk tangan kanan.
2. Jari Tengah tangan kanan
3. Jari Manis tangan kanan
4. Jari Kelingking tangan kanan (Tinggalkan Ibu Jari tangan kanan)
5. Jari Kelingking tangan kiri
6. Jari Manis tangan kiri
7. Jari Tengah tangan kiri
8. Jari Telunjuk tangan kiri
9. Ibu Jari tangan kiri
  1. Ibu Jari tangan kanan
Mula dari kanan, penghabisan juga sebelah kanan.


KUKU KAKI - Mula dari kanan, penghabisan sebelah kiri iaitu kelingking kiri. Mulai dari Kelingking Kanan dan bergerak ke jari-jari lain di sebelah kiri jari kelingking kanan . (cara terus, straight – cara “highway”)

Waktu memotong kuku:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang ertinya:
“Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma yang bermaksud:
Bersabda Rasululloh Shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Siapa saja yang mandi pada hari Jum‘at, memotong kuku, berwangian (memakai wangi2an) jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa saja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Jum‘at itu dan Jum‘at sebelumnya.”(Hadis riwayat Ahmad)
Ini bermakna kita digalakkan memotong kuku pada hari jumaat dan jangan simpan lebih dari 40 hari.