Antara
Amalan-Amalan Terbaik Di Hari Jumaat
Setiap insan bernama Islam, sama
ada lelaki ataupun perempuan, perlu berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai
amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ini
kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi
Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya
dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri
dan berserah diri kepada-Nya.
Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah
sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba
Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi
perhatian adalah seperti berikut :
§ Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut
pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin
penerimaannya).
§ Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat
dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan
perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.
§ Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum
muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca
al-Quran dengan memahami isi kandungannya.
§ Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi
Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta
bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.
§ Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan
persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama,
perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi
kemurkaan Allah dan sebagainya.
§ Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada
Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan
kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.
Apakah
amalan terbaik untuk dilakukan pada hari Jumaat?
Pada
subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai
pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah
minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur
misai, memotong kuku dan menggosok gigi.
Sesudah
itu bersegeralah ke masjid. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk
sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan
orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang
masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing
dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban
dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia
berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar
ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka
berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah.”
Kemudian apabila seseorang
memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh
ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan
lalu di hadapan orang sedang sembahyang.
Pernahkah
kita terfikir bagaimana baginda Rasulullah s.a.w dalam solat fardu Subuh
menggabungkan pembacaan surah as-Sajadah (32) pada rakaat pertama dan surah
al-Insan (76) pada rakaat kedua.
Ini
kerana kedua-dua surah tersebut mengandungi bahan motivasi dari sudut misi
kemanusiaan, daripada isu berkenaan penciptaan awal manusia yang dicipta
daripada air mani yang busuk hinggalah perhimpunan manusia pada hari qiamat di
padang Mahsyar, iaitu satu masa di mana mereka sedang menunggu giliran untuk
diperhitungkan amalan-amalan mereka.
Ia
tidak terhenti setakat itu sahaja, malah ia mengajar manusia untuk mendapatkan
kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat, ia Allah SWT aan menganjari
mereka yang melakukan perkara terbaik dalam hidup mereka dan membalas dengan
azab bagi mereka yang melakukan perkara yang bercanggah dengan perintah dan
arahan-Nya.
Solat
Sunat dan Bacaan Surah Pilihan
Muslim
digalakkan setibanya di masjid untuk melaksanakan sembahyang tahiyatul masjid.
Dalam sebuah hadis dinayatakan:
“Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia
melihat tempat di syurga.”
Jangan tingggalkan sembahyang
tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan
bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu
dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin.
Jika
tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam
As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu
pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.
Hendaklah
sedapat mungkin memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas
Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga
berkata-kata (bagi mereka yang datang awal), jawablah seruan muazzin kemudian
perhatikan khutbahnya.
Apabila
selesai dari sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum
berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma’uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas)
amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 – 2. m.s 82).
Hal
itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan
datang dan memeliharanya dari syaitan.
Kemudian
beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah
memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat
(jika bercuti pada hari itu), justeru, hari Jumaat adalah digalakkan kita agar
tidak bekerja supaya dapat melakukan sunnah-sunnah Rasulullah .s.aw yang tidak
ada janji-janji yang lebih manis pada hari-hari yang lain.
Inilah
kejayaan musuh Islam yang mengalihkan pandangan umat dari banyak beribadat pada
hari Jumaat digantikan pada hari lain, sedangkan hari kebesaran mereka pada
hari Ahad dapat disempurnakan dengan pergi ke gereja dengan selesa dan
sempurna, kerana pada hari itu mereka bercuti dan berehat bersama keluarga.
Mudah-mudahan
kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada
jalan yang diredai-Nya. Aamiin.
No comments:
Post a Comment