PERIHAL KEMATIAN DAN
KENDURI ARWAH
Bismillah,
Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Mati ialah terputusnya
perhubungan di antara roh dan jasad. Sebenarnya mati merupakan perpindahan
pertama bagi manusia dari alam dunia menuju ke alam akhirat. Bermula dari sini
manusia akan berpindah ke alam barzakh atau alam kubur. Mati itu adalah perkara
yang pasti terjadi bagi semua yang hidup. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan pasti merasai
mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan
kamu” (Surah Ali Imran: 185)
Alam barzakh merupakan alam tempat roh orang mati berada sementara
menunggu hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Ketika berada di alam
barzakh manusia akan disoal dengan berbagai perkara termasuk mengenai ketuhanan
dan kerasulan oleh malaikat Munkar dan Nangkir. Bagi mereka yang dapat
menjawabnya maka dia akan bahagia dan selamat. Keupayaan seseorang sama ada
boleh menjawab atau tidak soalan-soalan itu, sebenarnya akan bergantung kepada
amalan manusia semasa hidupnya di dunia.
Di dalam Al-Qur‘an, hidup mempunyai dua pengertian iaitu hidup di dunia
dan hidup di alam akhirat. Hidup di dunia ialah bersatu jasad dengan roh atau
jiwa. Sementara hidup di akhirat (mati) adalah apabila roh atau jiwa berpisah
daripada jasad. Pengertian ini diambil daripada firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala :
Tafsirnya: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia
mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai
ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya;
kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik
jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (Surah Al-Zumar: 42)
Berdasarkan ayat diatas
menurut Imam Al-Razi bahawa mati dan tidur itu adalah daripada jenis yang sama,
cuma mati itu terputus nyawa secara zahir dan batin daripada badan manusia,
manakala tidur pula terputus nyawa secara zahir badan manusia sahaja dan tidak
daripada batinnya. Oleh itu tidur adalah mati kecil kepada manusia. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak tidur dan bangun daripada tidur
membaca doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Huzaifah Radhiallahu
‘anhu :
Maksudnya: “ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
apabila hendak tidur Baginda membaca doa: “Ya Allah dengan namaMu aku mati dan
hidup”, dan apabila Baginda terjaga membaca doa: “Syukur kepada Allah yang
menghidupkan diriku selepas mematikannya dan kepadaNyalah tempat kembali”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi)
TAKZIAH
Sebagai agama yang lengkap lagi sempurna, Islam telah mengaturkan adab-adab
yang perlu diikuti apabila ada kematian, antaranya ialah disunatkan mengucapkan
takziah kepada keluarga si mati. Takziah ialah menyuruh dan menyatakan kepada
orang yang ditimpa musibah tersebut agar bersabar, menyebutkan janji pahala
kepada orang yang bersabar dan dosa bagi orang yang tidak bersabar serta
memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati, dan bagi
keluarganya pula memohonkan supaya dikurniakan dengan pahala yang berlipat
ganda di atas kesabaran mereka.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersabar ketika seseorang
itu ditimpa kesusahan atau musibah. Di antara orang-orang yang bersabar itu
ialah mereka yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka tidak hilang
semangat bahkan mereka segera mengucapkan:
Tafsirnya: “Sesungguhnya
kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Hal ini juga telah
dijelaskan dalam firman Allah yang tafsirnya : “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka
ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah
orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka
serta rahmatNya: dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya”. (Surah Al-Baqarah: 156-157)
Para fuqaha tidak
berselisih pendapat tentang sunatnya (mustahab) mengucapkan takziah kepada
orang yang ditimpa musibah atau kesusahan. Dilakukan takziah itu bagi
menenangkan atau menghiburkan hati orang-orang yang berdukacita kerana
kehilangan orang yang dikasihi. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Usamah bin
Zaid Radhiallahu ‘anhu beliau berkata yang maksudnya :
“Puteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah
mengirimkan utusan kepada Baginda bahawa anak saya (Usamah) meninggal, maka
silalah datang kepada kami”. Baginda pun mengirimkan utusan dengan berkirim
salam dan sabdanya: “Sesungguhnya bagi Allah apa yang diambilNya dan bagiNya
apa yang diberikanNya, dan segala yang wujud ini di sisi Allah ada batas waktu
yang telah ditentukanNya! Perintahkan kepadanya supaya dia bersabar dan mencari
pahala Allah”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda yang lain:
“sesiapa yang mengucapkan takziah (pernyataan
turut bersedih (berdukacita)) orang yang ditimpa musibah, maka dia memperolehi
pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda lagi
yang bermaksud: “Tiadalah
seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah,
melainkan Allah Subbhanahu wa Ta‘ala memberinya pakaian daripada pakaian yang
mulia pada hari kiamat”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Menurut
ulama Syafi‘eyah sunat mengucapkan takziah kepada keluarga si mati sebelum
mayat tersebut dikuburkan kerana ketika itu keluarga si mati dalam keadaan
sedih dan gelisah. Walau bagaimanapun yang lebih baik ucapan takziah tersebut
dilakukan setelah mayat dikuburkan kerana sebelum menanam mayat itu ahli
keluarga si mati dalam keadaan sibuk membuat segala urusan pengkebumian.
(Mughni Al-Muhtaj: 1/428)
Menurut para ulama,
sunat mengucapkan takziah itu dalam lingkungan tiga hari, sebab menurut
kebiasaannya kesusahan itu tidak lebih dari tiga hari. Maka makruh hukumnya jika ucapan takziah itu
dilakukan lebih daripada tiga hari, kerana
ditakuti selepas tiga hari itu akan memperbaharui kesedihan seseorang itu.
Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan puncak
daripada kesusahan selama tiga hari, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Bagi
wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak diharuskan berkabung
atas si mati lebih daripada tiga hari, kecuali atas suaminya iaitu selama empat
bulan sepuluh hari”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Cara
Mengucapkan Takziah
Sunat mengucapkan takziah kepada
orang Islam yang ditimpa musibah kematian keluarganya dengan ucapan :
Maksudnya: “Mudah-mudahan
Allah Ta‘ala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan
diperelokkan dukacita (dengan sebaik-baik hiburan) serta diampuni akan si mati
dari keluarga kamu”.
Cara Membalas Ucapan Takziah
Maka elok bagi keluarga yang
diucapkan takziah membalas dengan ucapan:
Maksudnya: “Moga-moga Allah Ta‘ala akan
mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran”.
Menangisi
dan Meratapi Mayat
Menangis kerana perasaan sedih
yang tidak tertahan di atas kehilangan orang yang dikasihi, seperti kematian
seseorang adalah diharuskan berdasarkan riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau
berkata yang maksudnya :
“Kami masuk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah
mengambil Ibrahim dan menciumnya, sesudah itu kami masuk kepada Baginda dan
(ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata
Rasulullah mulai mencucurkan air mata”. Kemudian Abd Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau
wahai Rasulullah!”, Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya
air mata itu rahmat (kasih sayang)”, kemudian air mata (Baginda) terus
bercucuran lagi, seraya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan
hatipun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diridhai oleh Tuhan kami. Dan
sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Walaupun menangis itu diharuskan tetapi menangis dengan meratap atau
menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau
mengoyak-ngoyak baju dan lain-lain adalah haram. Hal ini telah dijelaskan oleh
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang sedemikian diancam dengan
siksaan yang berat, sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya :
“Tidak termasuk golongan kami orang yang
memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak-teriak seperti
memanggilnya orang Jahiliyah”. (Hadis
riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi yang
maksudnya : “Wanita yang menangis menjerit-jerit, apabila tidak bertaubat akan
dibangkitkan di hari kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada
percikan api neraka dan baju besi daripada kurap”. (Hadis riwayat Muslim)
Menangisi mayat dengan meratapinya dan
memanggil-manggil dengan ucapan: “wahai sandaranku! wahai kemuliaanku! wahai
orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!” dan seumpamanya akan
menjadi sebab mayat tersebut tersiksa. Perkara ini juga digambarkan oleh
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya yang maksudnya :
“Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian
ada orang yang menangisinya mengatakan: Waa jabalah! Waa sayyidah! (Duhai
pujaanku ! Duhai kemuliaanku!) atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang
ditugaskan kepada mayat itu, menusuk-nusuk badan mayat tersebut dengan
mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang
mulia?” (Hadis riwayat Al-Tirmizi)
Dan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda yang
maksudnya :
“Sesungguhnya mayat itu disiksa dengan
sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya”.(Hadis riwayat Al-Bukhari)
KENDURI ARWAH DAN TAHLIL
Pada kebiasaannya, apabila ada kematian, majlis
tahlil atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga orang yang telah
meninggal dunia. Keluarga tersebut menjemput orang-orang hadir yang terdiri
daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ke rumah si mati bagi
membacakan ayat-ayat Al-Qur‘an seperti surah Yasin, bertahlil dan sebagainya
untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Selepas acara tersebut semua tetamu
yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan
rumah. Apakah amalan sedemikian sesuai dengan kehendak hukum syarak?
Sebagaimana yang kita ketahui,
agama Islam sangat menggalakkan berbuat kebajikan seperti bersedakah, memberi
makan dengan mengundang orang ke rumah dengan tujuan silaturahim, membaca
ayat-ayat Al-Qur‘an dan berdoa beramai-ramai memohon rahmat bagi si mati dan
sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya :
Tafsirnya: “Dan
(ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu
, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang
sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya”. (Surah Al-Muzzammil: 20)
Mengikut pendapat imam
Syafie sendiri, kenduri arwah tidak digalakkan. Ini kerana ditakuti salah faham
yang akan ditimbulkan oleh mereka yang kurang mantap akidah atau ilmunya.
Tetapi di kalangan ashab (kawan dan ulama di kalangan pengikut beliau) ramai yang
mengatakan ia sunat, dan sampai pahalanya kepada mayat. Ini kerana hadis yang
mengatakan terputus amalan anak Adam setelah meninggal itu, melainkan melalui
tiga perkara. Antaranya anak yang soleh yang berdoa untuknya. Jadi kalau tahlil
itu dengan permintaan anaknya, bererti amalan dan usahanya sendiri, termasuk
dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan bahawasanya seorang manusia tiada
memperoleh selain apa yang diusahakannya (an-Najmi-39).
Begitu
juga amalan orang lain yang diniatkan dan dihadiahkan kepadanya kerana ini
bererti amalannya sendiri, sama ada dengan permintaan anaknya sendiri atau
pemberian orang lain. Ini semua dikira amalan yang berpunca daripada usaha atau
amalan si mati tersebut juga, seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Orang
yang menunjuk kepada kebaikan itu adalah seperti orang yang mengerjakannya.
Begitu
juga mereka yang meneroka satu perbuatan yang baik, maka baginya pahala
amalannya sendiri dan pahala mereka yang mengikutinya hingga hari kiamat tidak
berkurangan pahala mereka sedikit pun. (hadis Muslim).
"Dan
firman-Nya lagi yang bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan suatu kebaikan, Kami
tambah pada kebaikan tersebut. "(Asyura-23).
Adapun pahala atau dosa
yang berpunca daripadanya seperti anaknya sendiri dan amalan orang lain yang
dihadiahkan kepadanya, atau disebabkan oleh anak atau keturunannya itu termasuk
dalam amalan usahanya sendiri juga.
Kata
ulama, segala pahala amalan anaknya akan sampai kepada bapanya tanpa perlukan
niat, malah secara terus. Tetapi amalan keburukan orang lain tidak akan sampai
melainkan ia berpunca daripadanya. Sabda Nabi, sesungguhnya bagi seseorang itu
apa yang diniatkannya, sebab itu orang lain boleh berdoa atau bersembahyang
untuk saudaranya yang sudah meninggal dunia kerana pahalanya akan sampai kepada
si mati tersebut.
Firman
Allah , dalam surah an-Najmi ayat 38- 39 itu telah diselaraskan oleh para ulama
seperti huraian di atas, bukan seperti yang difahami oleh orang kita yang
mengatakan tidak boleh sampai amalan orang lain kepada si mati.
Itu
ialah amalan yang tidak ada kaitan atau sebarang sebab langsung daripadanya,
tetapi kalau amalan itu ada juga usaha atau sebab daripadanya, pasti pahala
amalan itu akan sampai dan dapat diterimanya di akhirat nanti. Jika tidak
tentulah sia-sia amalan atau doa kita sebagai umat Islam kepada saudaranya umat
Islam yang lain. Malah dalam solat kita diajar supaya memberi salam iaitu
meminta keselamatan kepada semua kaum Muslimin hamba Allah yang soleh.
Dalam
al-Quran juga Allah mengajar kita supaya berdoa dengan pelbagai doa seperti
firman Allah yang bermaksud: Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan bagi
saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan, dan janganlah jadikan
dalam hati kami, rasa iri hati atau perasaan dendam kepada mereka yang beriman.
(al-Hasyr: 10). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Tuhan kami kurniakan kami dari
kalangan isteri kami dan keturunan kami, mereka yang menjadi penyejuk
pandangan, dan jadikanlah kami pemimpin bagi mereka yang bertakwa,
(al-Furqan: 74).
Sebab
itu para ashab Syafie memilih pendapat yang tidak dipilih oleh asy-Syafie
sendiri, kerana dalil-dalilnya agak kuat dan jelas, iaitu pahala amalan orang
lain boleh sampai dan dapat diterima oleh orang lain yang sudah meninggal
sekalipun di akhirat kelak sampai seseorang itu ada yang akan menjadi muflis
kerana pahala amalannya akan diberi kepada orang lain.
Adapun
bilangan hari itu hanyalah semata-mata untuk memudahkan ingatan dan penjadualan
sahaja, bukan kerana hari itu yang disuruh kita beramal untuk mengingati mayat
keluarga tetapi disuruh setiap masa. Jangan pula ada orang kita yang sengaja
tidak mahu faham, mereka mengatakan amalan baik itu bidaah, kerana ditentukan
hari- harinya.
Di
sini timbul punca perselisihan kita dengan mereka, malah mereka mengatakan
sunat pada hari tersebut. Jika difahami betul-betul (sunat itu kerana hari
tersebut) maka merekalah yang mengamalkan bidaah. Adapun bukan kerana hari
tertentu sahaja kerana tidak ada sebarang nas atau dalilnya, malah suatu
penjadualan amalan kebaikan itu sahaja, manakala amalan itu disunatkan kerana
ada nas yang menyuruh melakukannya sama ada al-Quran atau hadis atau kias atau
ijmak.
Sedangkan
kalau ada jamuan pun, hendaklah diurus dan dibantu oleh orang lain sebagaimana
yang disuruh oleh Rasulullah sendiri, bila kematian keluarganya Ja'afar. Bagi
mereka yang selalu mempersendakan amalan kebaikan ini, kita kemukakan untuk
mereka dua dalil di sini sudah cukup untuk mereka yang berfikir.
Satu,
di dalam al-Quran di mana firman Allah yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah
mengerjakan kebaikan”, (al-Baqarah: 148). Satu lagi, hadis yang
bermaksud: “Janganlah engkau menghinakan sebarang perkara makruf (adat kebiasaan
tempatan yang baik) suatu apa pun. "(riwayat Muslim).
Hatta
senyuman seseorang kepada saudaranya pun dikira amalan baik juga dan ada pahala
tertentu di sisi Allah, kerana menggembirakan saudara Islam. Bagi mereka yang
suka mencela kawannya yang beriman juga Allah berfirman bermaksud: "Mereka
yang mencela orang-orang yang beriman yang bersuka ria memberi sedekah dan
bersusah-payah memberi sedekah dengan menjamu makan fakir miskin atau membaca
al-Quran dan sebagainya sekadar kemampuan mereka, lalu mereka sengaja mencela
dan mengejek mereka semua, Allah akan membalas ejekan mereka dan azab seksa
yang pedih." (at-Taubah: 79)
Wallahualam.