Rasulullah SAW bersabda, “Apa pendapat
kalian jika di depan pintu salah seorang kalian terdapat sungai lalu ia mandi
di dalamnya lima kali tiap hari, apakah masih tersisa kotoran padanya ?” para
sahabat menjawab, “Tentu tidak akan ada sedikitpun kotoran padanya “. Beliau
berkata, “Demikian pula dengan solat lima waktu, dengan solat itu , Allah
menghapuskan dosa-dosa.
-HR. Bukhari dan Muslim-
-HR. Bukhari dan Muslim-
Irama kehidupan di
Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar selainnya, kadangkala melalaikan kita
untuk beribadah kepada Allah, termasuk amalan ibadah Solat. Solat yang tidak
memerlukan banyak pengorbanan berbentuk harta, tenaga dan waktu ini seakan
menjadi amalan ibadah yang paling sering dan susah untuk diamalkan dengan baik,
tentunya yang dimaksudkan di sini adalah Solat yang selalu terjaga waktunya,
iaitu solat di awal waktu.
Abdullah bin Mas’ud radiyallahu
‘anhu berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah, ‘Apakah amal yang paling
dicintai oleh Allah ?’ , Beliau bersabda, ‘Solat pada waktunya’, Saya bertanya,
‘Kemudian apa lagi ?’, Beliau bersabda, ‘Berbakti kepada kedua orang tua’, Saya
bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi ?’, Beliau bersabda, ‘Berjihad (berjuang) di
jalan Allah’. Saya berdiam diri dari Rasulullah. Seandainya saya meminta
tambah, nescaya beliau akan menambahkannya.
- HR.Bukhari-
- HR.Bukhari-
Menerusi hadith ini
kita dapat mengetahui bahawa terdapat beberapa amalan yang disukai Allah dan
amalan Solat tepat pada waktunya adalah yang paling dicintai oleh Allah.
Solat fardu adalah Rukun Islam yang selalu kita kerjakan setiap
hari, Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. Kadangkala kita rajin
mengerjakannya, kadangkala kita lalai dan yang paling sering kita lakukan
adalah menangguh nangguhkan waktu solat dek kerana kesibukan dunia dan cintakan
dunia. Ketika membicarakan waktu solat kadang-kala kita menganggap ia sebagai
perkara yang biasa sahaja. Namun ternyata waktu solat sangat berperanan dalam
menentukan kualiti solat kita. Apakah solat kita baik atau tidak ?, apakah
Istiqomah ? Apakah serius atau main-main ? atau lalai dalam waktu solat seperti
yang dimaksudkan Allah dalam firmannya,
“Maka celakalah orang-orang
yang solat, iaitu mereka yang lalai dalam solatnya”. Surah al-Maun
ayat 4-5.
Dalam beberapa tafsir yang dimaksud lalai dalam solatnya adalah orang-orang yang melewatkan waktu-waktu sholat.
Rasulullah juga telah mengajarkan mengenai waktu-waktu solat.
Dari Abdillah bin ‘Amr bahawasanya
Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Waktu Zuhur adalah apabila tergelincir
matahari dan bayangan seseorang sepanjang badannya, selama belum hadir waktu
asar. Dan waktu asar selagi belum kuning matahari. Dan waktu Maghrib selagi
belum hilang tanda merah. Dan waktu Isya hingga setengah malam
pertengahan. Waktu Subuh dari terbit fajar selagi belum terbit matahari”.
-HR. Muslim-
-HR. Muslim-
Rasulullah juga
memberikan tuntunan waktu solat, jika tidak ada keuzuran, maka diutamakan solat
pada awal waktu atau solat tepat pada waktunya. Solat tepat waktu adalah
keutamaan, apalagi bila dilaksanakan secara berjemaah dan di masjid. Keutamaan
ini akan berlipat kali ganda apabila kita mempersiapkan diri sebelum melaksanakannya
dengan menunggu waktu solat sebelum azan berkumandang. Mengapa ?
- Menunggu waktu solat adalah bukti kecintaan seorang hamba pada Rabb-nya. Seorang yang mencintai selalu merindukan saat perjumpaan dengan yang dicintai. Dia akan menantikaannya agar tidak terlambat walau sedikit cuma.
- Menunggu waktu solat memberikan kesempatan untuk melakukan banyak kebaikan lainnya. Membaca Al Qur’an, berzikir, mendirikan sholat sunat, I’tikaf, menyiapkan tempat solat, menyelesaikan pekerjaan yang dilakukan dan amalan selainnya.
- Menunggu waktu solat mengelakkan kemungkinan berbuat maksiat.
- Menunggu waktu solat kita akan senantiasa menjaga kebersihan diri, hati dan fikiran kita.
Pada hakikatnya hidup
kita persis perpindahan dari satu solat ke solat berikutnya. Sangat indah
kehidupan kita apabila kita mampu mencipta paradigma dengan menjadikan seluruh
aktiviti hidup kita seakan menunggu waktu solat. Seluruh aktiviti hidup kita
pasti akan menjadi lebih berhat-hati dan diliputi dengan amalan-amalan kebaikan.
Kesannya, seluruh aktiviti hidup kita akan menjadi semakin
berkualiti kerana dilandasi dengan mahabbatullah (cinta kepada Allah). Kita
akan sentiasa menjaga seluruh aktiviti hidup kita agar selalu dijaga
kebersihannya, niatnya, nilai zikirnya, nilai amar ma’ruf nahi munkarnya, nilai
tawadu’nya, kerana semuanya dalam rangka menunggu waktu sholat, menunggu
perjumpaan kita dengan yang kita cintai, Allah SWT.
Semoga kita diberikan
kemudahan oleh Allah SWT dalam menjaga solat dan waktu-waktunya. Aamiin.
oleh : PMIUM
No comments:
Post a Comment