Santapan Minda

Monday, 7 January 2013

WAKTU SOLAT


Rasulullah SAW bersabda, “Apa pendapat kalian jika di depan pintu salah seorang kalian terdapat sungai lalu ia mandi di dalamnya lima kali tiap hari, apakah masih tersisa kotoran padanya ?” para sahabat menjawab, “Tentu tidak akan ada sedikitpun kotoran padanya “. Beliau berkata, “Demikian pula dengan solat lima waktu, dengan solat itu , Allah menghapuskan dosa-dosa.
-HR. Bukhari dan Muslim-

Irama kehidupan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar selainnya, kadangkala melalaikan kita untuk beribadah kepada Allah, termasuk amalan ibadah Solat. Solat yang tidak memerlukan banyak pengorbanan berbentuk harta, tenaga dan waktu ini seakan menjadi amalan ibadah yang paling sering dan susah untuk diamalkan dengan baik, tentunya yang dimaksudkan di sini adalah Solat yang selalu terjaga waktunya, iaitu solat di awal waktu.
Abdullah bin Mas’ud radiyallahu ‘anhu berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah, ‘Apakah amal yang paling dicintai oleh Allah ?’ , Beliau bersabda, ‘Solat pada waktunya’, Saya bertanya, ‘Kemudian apa lagi ?’, Beliau bersabda, ‘Berbakti kepada kedua orang tua’, Saya bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi ?’, Beliau bersabda, ‘Berjihad (berjuang) di jalan Allah’. Saya berdiam diri dari Rasulullah. Seandainya saya meminta tambah, nescaya beliau akan menambahkannya.
HR.Bukhari-

Menerusi hadith ini kita dapat mengetahui bahawa terdapat beberapa amalan yang disukai Allah dan amalan Solat tepat pada waktunya adalah yang paling dicintai oleh Allah.
Solat fardu adalah Rukun Islam yang selalu kita kerjakan setiap hari, Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’.  Kadangkala kita rajin mengerjakannya, kadangkala kita lalai dan yang paling sering kita lakukan adalah menangguh nangguhkan waktu solat dek kerana kesibukan dunia dan cintakan dunia. Ketika membicarakan waktu solat kadang-kala kita menganggap ia sebagai perkara yang biasa sahaja. Namun ternyata waktu solat sangat berperanan dalam menentukan kualiti solat kita. Apakah solat kita baik atau tidak ?, apakah Istiqomah ? Apakah serius atau main-main ? atau lalai dalam waktu solat seperti yang dimaksudkan Allah dalam firmannya,
“Maka celakalah orang-orang yang solat, iaitu mereka yang lalai dalam solatnya”. Surah al-Maun ayat 4-5.

Dalam beberapa tafsir yang dimaksud lalai dalam solatnya adalah orang-orang yang melewatkan waktu-waktu sholat.

Rasulullah juga telah mengajarkan mengenai waktu-waktu solat.  Dari Abdillah bin ‘Amr bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Waktu Zuhur adalah apabila tergelincir matahari dan bayangan seseorang sepanjang badannya, selama belum hadir waktu asar. Dan waktu asar selagi belum kuning matahari. Dan waktu Maghrib selagi belum hilang tanda merah. Dan waktu Isya hingga setengah malam  pertengahan. Waktu Subuh dari terbit fajar selagi belum terbit matahari”.
-HR. Muslim-

Rasulullah juga memberikan tuntunan waktu solat, jika tidak ada keuzuran, maka diutamakan solat pada awal waktu atau solat tepat pada waktunya. Solat tepat waktu adalah keutamaan, apalagi bila dilaksanakan secara berjemaah dan di masjid. Keutamaan ini akan berlipat kali ganda apabila kita mempersiapkan diri sebelum melaksanakannya dengan menunggu waktu solat sebelum azan berkumandang. Mengapa ?
  1. Menunggu waktu solat adalah bukti kecintaan seorang hamba pada Rabb-nya. Seorang yang mencintai selalu merindukan saat perjumpaan dengan yang dicintai. Dia akan menantikaannya agar tidak terlambat walau sedikit cuma.
  2. Menunggu waktu solat memberikan kesempatan untuk melakukan banyak kebaikan lainnya. Membaca Al Qur’an, berzikir, mendirikan sholat sunat, I’tikaf, menyiapkan tempat solat, menyelesaikan pekerjaan yang dilakukan dan amalan selainnya.
  3. Menunggu waktu solat mengelakkan kemungkinan berbuat maksiat.
  4. Menunggu waktu solat kita akan senantiasa menjaga kebersihan diri, hati dan fikiran kita.

Pada hakikatnya hidup kita persis perpindahan dari satu solat ke solat berikutnya. Sangat indah kehidupan kita apabila kita mampu mencipta paradigma dengan menjadikan seluruh aktiviti hidup kita seakan menunggu waktu solat. Seluruh aktiviti hidup kita pasti akan menjadi lebih berhat-hati dan diliputi dengan amalan-amalan kebaikan. Kesannya, seluruh aktiviti  hidup kita akan menjadi semakin berkualiti kerana dilandasi dengan mahabbatullah (cinta kepada Allah). Kita akan sentiasa menjaga seluruh aktiviti hidup kita agar selalu dijaga kebersihannya, niatnya, nilai zikirnya, nilai amar ma’ruf nahi munkarnya, nilai tawadu’nya, kerana semuanya dalam rangka menunggu waktu sholat, menunggu perjumpaan kita dengan yang kita cintai, Allah SWT.
Semoga kita diberikan kemudahan oleh Allah SWT dalam menjaga solat dan waktu-waktunya. Aamiin.


oleh : PMIUM

No comments:

Post a Comment