Assalamualaikum...

Assalamualaikum...

Sebelum Intan Tidur.... Intan selalu nak ingatkan diri Intan dan semua orang sekeliling Intan....

Ini adalah LUAHAN HATI dan koleksi Tazkirah.... Semoga BILA INTAN TERUS TIDUR... Blog ini menjadi Tanda Kasih Sayang Intan pada semua orang yang Intan sayang...

Semua Tazkirah ini Intan kumpul sejak dari mula-mula Intan ada Facebook dan baca dari Blog-blog yang terdapat dalam internet. Semoga kita berkongsi bersama segala kebaikan dan ilmu ini....


2018 intan mula dengan luahan hati. Setelah Habibi pergi, banyak yang ingin intan luahkan. Supaya terlerai sesak dada ini.

Terima Kasih buat arwah Habibi Tersayang dan Anakanda yang Dikasihi serta Meow-meow yang tak jemu menemani mamamu ini….. ;)

Sunday 31 March 2013

Hukum Dan Fatwa Menyambut ‘April Fool’s Day’


Hukum Dan Fatwa Menyambut ‘April Fool’s Day’

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Masyarakat kita umumnya lebih cenderung dengan budaya ikut-ikutan. Sentiasa terpengaruh dan terpedaya dengan budaya orang kafir dan barat. Apabila orang kafir menyambut ‘Valentines Day’ mereka pun nak sambut ‘Hari Valentine/Kekasih’ juga! Bila orang kafir sambut ‘April Fool’s Day’, mereka pun ikut ‘fool’ sama menyambut hari mengarut itu!.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah  pernah bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia itu termasuk di dalam kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud r.a., Imam Ahmad Bin Hanbal dan Imam as-Suyuti ).
Pada 1 April setiap tahun, sebahagian masyarakat menyambut hari tersebut dengan mengadakan perbuatan menipu atau gurauan untuk mengenakan orang lain yang dikenali sebagai ‘April Fool’Hari April fool ini sepertinya hari perayaan syaitan dan iblis kerana pada hari ini ramai manusia menghalalkan apa yang diharamkan iaitu Menipu dan Bergurau Melampaui Batas.
Tidak dinafikan bergurau dalam konteks positif dan tiada unsur penipuan dan seumpamanya adalah tidak salah. Namun pada hari ‘April Fool’ ini, kita dapati pelbagai gurauan melampau dan keterlaluan malah ada yang hingga menjatuhkan maruah,  mendatangkan malu, keaiban, menimbulkan perasaan dendam dan sebagainya. Perkara inilah yang perlu umat Islam hindari dan  titik beratkan  serta diberi perhatian.
.

Pendapat Para Ulama

Agama Islam amat melarang ummatnya melakukan perbuatan mengaibkan dan menipu dengan sengaja, walau dalam bentuk apa sekalipun, samada dalam bentuk gurauan ataupun bukan. Mari kita lihat beberapa pendapat `ulama muktabar berkaitan isu ‘April Fool’ ini:

1) Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi .
Presiden Persatuan Ulama Dunia, Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi Hafizahullah menyatakan:“Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu tanda kemunafikan.”
Ini kerana Rasulullah  bersabda: “Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah  memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda  bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e)
Rasulullah  juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran.”  (Hadis Riwayat Ahmad dan At-Thabrani).
Sebahagian hadis Nabi  turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau.
Rasulullah  bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” (Hadis Riwayat Abu Daud) .
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana 4 sebab:
  1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
  2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
  3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
  4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan..
.

2)  Shaikh Atiyyah Saqr .

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan. .
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut. .
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah  bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah  membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.”
Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan..
.
Haram Meraikan ‘April Fool’ .
Rasulullah  melarang kita menipu, Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita dapati bahawa budaya ‘April Fool’ jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.
Amalan menipu ini turut melanggar etika seorang manusia yang bermoral.  Tiada satu pun manusia yang normal fikirannya yang suka atau rela dia ditipu. Sewajarnya tradisi ‘April Fool’ ini dihentikan dan ditinggalkan oleh mereka yang selalu menyambutnya, walau untuk tujuan bergurau!
.
Umat Islam adalah diharam meraikan sambutan ‘April Fool’ ini kerana ia jelas boleh menjatuhkan maruah, merendahkan martabat kemanusiaan dan menyesatkan akidah umatnya.
Mudah-mudahan peringatan ini bisa membuka minda dan menyedarkan kita semua betapa Islam adalah agama yang sejahtera dan mensejahterakan. Larangan ini bagi menjaga hak setiap jiwa manusia agar tidak teraniaya.
Islam adalah ‘Deen’ atau cara hidup. Ia telah merangkumi segala-galanya. Bukan hanya kehidupan untuk di dunia yang sementara ini bahkan kehidupan abadi (abadan-abadan) nun di akhirat kelak. Semoga Allah سبحانه وتعالى terus memelihara kita semua agar kekal terus dalam agamanya iaitu Islam dan mengamalkan cara hidup yang berlandaskan syariat Islam yang sebenar.
.

وَالسَّلاَمْ

.

No comments:

Post a Comment