Soalan; Macam mana mandi
hadas besar dengan betul, mudah dan mengikut sunnah nabi. Bolehkah kita
menyentuh kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi?
Saya was-was dalam hal ini.
Jawapan;
Kaifiyat mandi hadas
yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w.,
antaranya yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;
“Adalah Rasulullah
s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua
tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan
tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya.
Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat.
Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya
hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar
rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga
cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda
membasuh kedua kakinya” (HR Imam Muslim).
Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas
seperti berikut;
1. Setelah membaca
Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan
baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.
2. Kemudian basuh
kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3. Setelah itu ambil
wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4. Kemudian mulakan
mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala
termasuk di celah-celah rambut.
5. Selesai bahagian
kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat
menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.
6. Semasa mandi, tangan
hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat
yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.
7. Akhiri mandian dengan
membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.
8. Ketika mandi itu,
jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat
mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.
Menyentuh kemaluan
tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan membatalkan wudhuk. Semasa mandi,
jika menyentuh kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke
bahagian kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wudhuk kembali selepas mandi
kerana sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun
jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air
(semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib
mengambil wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas
semata-mata dengan menyentuh kemaluan.
Walahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.
Sumber
: Ilmu
& Ulamak
No comments:
Post a Comment