Santapan Minda

Wednesday, 22 August 2012

SALAM AIDIL FITRI - AIDIL FITRI DARI PERSPEKTIF ISLAM


SALAM AIDIL FITRI

HARI INI DAH HARI YANG KE-4 KITA BERHARI RAYA
MASIH BELUM TERLAMBAT UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI DAN MAAF DZAHIR BATHIN KEPADA SEMUA YANG DIKENALI....


DALAM KEGEMBIRAAN MERAIKAN AIDIL FITRI INI, APA KATA KITA RUJUK - AIDIL FITRI DARI PERSPEKTIF ISLAM UNTUK KITA JADIKAN TAULADAN DAN PENGAJARAN....

Aidilfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin adalah merupakan satu syiar. Sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal. Hari raya adalah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan. 

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya Radiallahuanhu baginda bersabda maksudnya :-

"Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum muslimin menghadap tuhan yang pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Aljaizah ( hari mendapat ganjaran )".

Pada hari raya ini kita disunatkan sesama Islam saling mengucapkan tahniah dengan mendoakan diantara satu sama yang lain seperti mengucapkan yang ertinya : semoga Allah menerima daripada kita dan menerima daripada awak. 

Adapun maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang kita buat di bulan Ramadhan. Ahli jumaat sekalian, Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala. 

Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. 

Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu. Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :-

* Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
* Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat. 

* Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan sifat belas ihsan.
* Kesungguhan beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala - Sifat suka berjemaah di masjid.
* Sifat tabah sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi. Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ath-Thuur, ayat 17-19, Tafsirnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan yang tidak ada taranya. Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh tuhan mereka dan mereka dipelihara tuhan daripada azab neraka. Dan dikatakan kepada mereka : " Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan ."

No comments:

Post a Comment